Wednesday, 25 August 2010

16 Ramadhan 1431H

Berjumpa kembali!
Salam Ramadhan Kareem!

Diam tak diam dah lebih separuh bulan Ramadhan kita lalui. Bagaimana dengan ibadah kita setakat ini? Ada peningkatan? Dah banyak surah yang dibaca? Dah biasa dengan solah malam? Solah terawih masih diteruskan? Tak pernah tertinggal?

Jika ya jawapannya, alhamdulillah! Ayuh kita teruskanlah usaha kita dalam bulan yang mulia ini. Inilah bulan istimewa yang telah dianugerahkan ALLAH kepada semua umat Islam, bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang penuh dengan kerahmatan ALLAH.

Bulan Ramadhan awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan, akhirnya pembebasan dari api neraka. Begitulah maksud hadis yang biasa kita dengar.

Mudah-mudahan sepertiga Ramadhan yang pertama kita lalui itu telah tidak kita persiakan untuk meraih kerahmatan dan keberkatan ALLAH SWT.

Di sepertiga yang kedua ini pula, marilah kita usahakan agar mendapatkan keampunan ALLAH di atas segala kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Marilah kita perbanyakkan munajat dan bertaubat daripada dosa-dosa kita yang lalu, samada kecil maupun yang besar. Kita mohon ampun daripada ALLAH SWT yang Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Tuhan yang amat mengasihi hamba-hambanya.

Mudah-mudahan dengan ini ALLAH akan sentiasa mendorong diri kita untuk mengerjakan amalan yang soleh, melaksanakan amal kebajikan dan menghindari kejahatan dalam apa jua bentuknya. Insya' ALLAH. Amin.

Thursday, 12 August 2010

3 Ramadhan 1431H

Alhamdulillahillazi ahyana ba'dama amatana wa ilaihinnusyur.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberikan rahmatNYA kepada kita untuk melihat keindahan alam ini sehari lagi. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Sudah masuk hari ketiga kita berpuasa. Bagaimana dengan ibadah-ibadah yang lain: Tadarus Al-Quraan dah sampai juzuk ke berapa? Bangun sahur - makan apa pagi tadi? Qiamullail - masih mengantuk lagi ke bangun di awal pagi? Solat Terawih malam tadi ok ke? Dah mula bayar zakat fitrah - malam tadi tok amil dah buat pengumuman tentang kadar zakat pada tahun ini. Mungkin kita perlu bayar lebih awal agar mudah wang tersebut diagih-agihkan kepada fakir-miskin dan asnaf-asnaf yang lain. Mudah-mudahan wang yang kita keluarkan itu diterima dan diberkati oleh ALLAH SWT. Insya'ALLAH.

Tuesday, 10 August 2010

1 Ramadhan 1431H

Di pagi yang hening, kami mulakan dengan aktiviti bersahur secara sederhana. Selepas menunaikan solah Subuh di Masjid Ar-Raudhah, kami mula menyambung tadarus Surah al-Baqarah.

Lepas tu, kami bersiap untuk menghadiri mesyuarat, kebetulan hari ini cuti sempena kedatangan Awal Ramadhan.

Monday, 9 August 2010

Selamat Datang Ramadhan

Hari ini 29 Sya'ban 1431H. Petang nanti rombongan para ulamak akan menjalankan tugas mereka meneropong kehadiran Hilal Ramadhan. Jika nampak, maka esok kita akan mula berpuasa Ramadhan. Jika tak nampak, bergantung pula kepada hisab Ahli Kaji Falak yang arif lagi bijaksana. Seperti biasa, apa-apa pun kita tunggu pengumuman daripada Pemegang Mohor Besar Raja-Raja di kaca TV dan di corong-corong radio.

Jika 1 Ramadhan bermula petang esok, maka bermulalah bulan yang penuh bermakna kepada seluruh umat Islam. Tidak kira di mana mereka berada, kehadiran Ramadhan sekali lagi memberi peluang untuk mempertingkatkan amal ibadah yang akan diberikan ganjaran berlipat-lipat kali ganda oleh ALLAH Subhanahu wa Taala. Bermula dengan Solah Sunat Terawih, diikuti dengan Tadarus Al-Quraan, berniat puasa, makan sahur di waktu dinihari dan seterusnya berpuasa di siang harinya. Begitu pulalah ibadah iringan iaitu mengeluarkan zakat fitrah bagi setiap Muslim mula dibayar di samping zakat harta dan sedeqah kepada yang memerlukan.