26 Ramadhan 1432H
26 Ogos 2011M
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu!
Salam Ramadhan al-Mubarak & Ramadhan Kareem diucapkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
Sesungguhnya bulan Ramadhan yang kita cintai ini semakin hampir ke penghujungnya. Bagaimanakah dengan perubahan diri kita sepanjang kita melalui madrasah Ramadhan ini? Adakah kita hanya menahan lapar dan dahaga sahaja? Atau, kita berubah menjadi seorang individu Muslim yang benar-benar beramal sepanjang bulan ini dengan Solat Terawih, membaca, bertadarrus dan tadabbur Al-Quraan & bersedeqah, Qiamullail, menziarahi sanak-saudara dan rakan-taulan, menziarahi hospital, menziarahi pusara, menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan, membantu orang yang berada dalam kesulitan dan sebagainya.
Bagaimana dengan zakat dan fitrah, sudahkah kita keluarkan?
Sesungguhnya inilah beberapa persoalan yang sentiasa kita ajukan kepada setiap diri kita agar ia menjadi panduan untuk kita bermuhasabah.
"Hisablah diri kamu, sebelum kamu dihisab (di akhirat)".
Mudah-mudahan dengan panduan ini, kita dapat sentiasa pertingkatkan kualiti diri kita dari hari ke hari.
Biarlah Ramadhan meninggalkan kita tetapi ia memberikan kesan yang jelas dengan suatu keazaman untuk menjadi Musim yang lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya.
Mudah-mudahan matlamat menjadi Muslim Mukmin yang Bertakwa akan menjadi kenyataan akhirnya seperti mana yang Allah Subhanahu wa Taala janjikan dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 183: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa."
Sama-samalah kita doakan, insya'ALLAH.
Sekian, selamat berpuasa dengan penuh ketakwaan.